Developed And Maintain By : Monizone Enterpise  2009
 
 
 
 
TUAN GURU HAJI MUSA MAT TAHIR AL-KELANTANI
( CABANG TIGA HAJI MUSA,BUKIT MARAK)

Al-Marhum Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir Al Kelantani merupakan seorang tokoh ulama dan guru agama yang disegani ramai bukan hanya disekitar jajahan Bachok dan Kota Bharu bahkan diseluruh negeri Kelantan Darul Naim, semasa hayatnya.   Berasal dari Kampong Jeram, dalam jajahan Pasir Puteh, Kelantan adalah merupakan anaknda kepada pasangan Encik Mat Tahir dan Puan Wan Sena  ini dilahirkan pada tahun 1895.

Sejak dari kecil lagi beliau menunjukkan kecenderungan kepada ilmu agama, jesteru itulah kedua ibubapanya telah menghantar beliau mendalami ilmu agama di sekitar tempat kelahirannya , Pondok Bunut Payong dan  juga di Pattani Thailand.  Di awal usia 20an, beliau telah dikahwinkan dengan gadis sekampong dengannya dan memperolehi seorang anak lelaki yand diberi nama Idris.  Namun jodoh beliau tidak kekal lama.  

Pada tahun 1921, Tuan Guru Haji Musa telah berangkat ke Tanah Suci Makkah Al Mukarramah untuk mendalami ilmu agama di Masjidil Haram Asy- Syarif Makkah…beliau telah pergi dengan kapal laut dengan bayaran RM225.00 menggunakan khidmat Syeikh Osman, dari Singapura ke Jeddah dan telah belayar berbulan-bulan lamanya untuk tiba ke Tanah Suci tersebut.  Namun berbekalkan keazaman untuk mendalami ilmu agama segala cabaran telah dihadapi oleh beliau dengan penuh semangat yang gigih dan kental.  Setelah bertahun lamanya menetap di Kota Suci Makkah dan menjadi salah seorang pelajar di Masjidil Haram yang penuh berkat itu, akhirnya, Tuan Guru Hj. Musa kembali semula ke Malaya. Beliau telah berkahwin buat kali kedua dengan Hjh. Che Wook yang berasal dari kampong Seterpa, Bukit Marak. Perkahwinan kedua ini telah mengurniakan sepasang  cahaya mata  kepada beliau iaitu Hj. Noor dan Hjh. Jah.  Merasai ilmu agamanya belum mantap dan perlu dipertingkatkan lagi, maka sekali lagi pada tahun   1936, Tuan Guru Haji Musa, Hjh. Che  Wook dan anak-anak telah berangkat ke Makkah AL Mukarramah untuk mendiami Kota Suci tersebut. Di sana beliau telah belajar mendalami Al-Quran dengan ulama-ulama besar Masjidil Haram Asy-Syarif, Makkah.  Antara guru beliau yang masyhur ialah Sheikh Ahmad Hijazi- Qurra' Makkah, Thaif dan sekitarnya  .  Dengan Sheikh Ahmad Hijazi ini lah beliau telah mendalami pelbagai cabang ilmu Al-Quran seperti Qiraat, hafazan, tajwid, nafek, warash, qanun, mantik dan sebagainya.(Rujuk kepada ijazah beliau yang telah diperakui oleh ulama besar tersebut)

Selain daripada itu Tuan Guru Haji Musa juga telah berkesempatan membacakan Al-Quran didepan Ulama Besar Masjid Nabawi, Madinah Al Munawwarah iaitu Sheikh Hassan Ibrahim Shaier iaitu Qurra' Madinah yang berasal dari Mesir. Ulama Mesir amat terkenal dengan kepandaian di dalam pembacaan Kitab Suci Al-Quran baik dari segi Tajwid, Tarannum dan sebagainya. Peluang memperdengarkan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran ini kepada ulama besar Masjid Nabawi tersebut sudah pasti menjadikan ianya satu pengiktirafan buat beliau. (Cop Mohor Ulama Besar ini juga telah diperturunkan dalam Ijazah beliau). Diceritakan oleh Ustaz Radi Al Hafiz, seorang tenaga pengajar Melayu/ Pattani  yang kini menjadi tenaga pengajar Maahad Tahfiz di Tingkat Atas Masjidil Haram, ulama tersebut amat masyhur dalam sejarah ulama' di Arab Saudi dimana beliau telah mengajar hampir 100 tahun dalam Masjid Nabawi, Madinah dan meninggal pada usia hampir  120 tahun. Menurutnya lagi, ijazah  yang dimiliki Tuan Guru Haji Musa ini setaraf dengan PHD dibidang Al-Quran dewasa ini.

Selain itu Tuan Guru Hj. Musa juga turut berguru dengan Sheikh Nuh Jamaluddin Al-Kelantani di Masjidil Haram, Makkah.
Sekali lagi setelah sekian lama menuntut di sana akhirnya Tuan Guru Haji Musa bersama keluarganya kembali semula ke tanah air dan membuka madrasah beliau di Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak. Malangnya isteri beliau Hjh. Che Wook telah jatuh sakit dan tidak dapat berjalan.  Setelah beberapa lama  melalui detik ini Hjh. Che Wook telah meminta agar Tuan Guru Haji Musa berkahwin lagi untuk menjaga makan minum dan kebajikannya.

Suatu hari ketika beliau menumpang sembahyang di rumah seorang kenalan di Pulau Belongan, Bachok , Tuan Guru Haji Musa secara tidak sengaja telah bersua dengan Hajjah Che Bidah Awang Kechik, bekas isteri kepada Dato' Amar Diraja Kelantan, Dato' Nik Mustapha Fadhil  Bin Dato' Nik Mahmood. (Dato' Nik Mahmood merupakan Dato' Perdana Menteri Kelantan ketika itu). Ketinggian budi pekerti  Hjh. Che Bidah(Dari Keluarga Tok Bachok)  telah menambat hati beliau dan melalui anak muridnya beliau telah melamar Hjh. Che Bidah sebagai suri hidupnya.  Hasil perkahwinan baru ini beliau telah dikurniakan tiga anak lelaki dan empat anak perempuan. Anak sulung beliau ialah bekas YDP PIBG SMKPS, iaitu Tuan Haji Abd. Sattar  Hj. Musa, anak keenam beliau  ialah Y.BHG. Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj. Annuar Hj. Musa, Mantan Menteri Kabinet, Malaysia  dan anak bongsu beliau ialah Tuan Hj. Ahmad Termizi Hj. Musa, Ketua Sektor Pelajaran di JPN Kelantan.  

Pada tahun 1947, Tuan Guru Haji Musa secara rasmi mendapat pengiktirafan dan kebenaran daripada MAIK untuk membuka sekolah Agama di Bukit Marak dan berdakwah diseluruh negeri Kelantan.  Selain dari mengajar di madrasahnya sendiri, beliau turut berulang alik mengajar kitab di merata tempat antaranya seperti di Sekitar Kg. Padang Lati, Atas Pasir, Banggol Telipot, Pasir Puteh, Limau Kasturi,  Manik Urai, Laloh di Ulu Kelantan. Bahkan beliaulah orang yang bertanggung jawab memulakan solat Jumaat pertama di Kampong Laloh, Kuala Krai. Walaupun terpaksa menaiki bot galah, keretapi dan sebagainya, namun demi dakwah dan menyebarkan ajaran Islam segala kepayahan ini tetap beliau harungi.

Pada tahun 1948 beliau melahirkan rasa rindunya untuk mengunjugi Baitullah, memandangkan perbelanjaan hanya mencukupi untuk beliau seorang sahaja dan tidak mampu untuk membawa Hjh. Che Bidah yang dipanggil ummie bersama. Namun Allah maha mengetahui hajat murni hambanya,  Tuan Guru Hj.Musa berdoa kepada Allah dan bersuluk (Mengasingkan diri daripada orang) berita Tuan Guru Hj. Musa hendak ke Makkah tersebar meluas..ramai orang datang bertemu mata dengannya dan memberikan sedekah, di ceritakan arwah  ummie,  wang datang mencurah-curah ke rumahnya. Bukan hanya daripada orang Melayu bahkan Tok Sami Siam dari Watt Aril pun datang, orang-orang Cina pun datang sehingga wang memenuhi satu beg pakaian. Akhirnya pada tahun 1948 melalui Pelabuhan Pulau Pinang, menggunakan Khidmat Sheikh Abdul Halim, Tuan Guru Hj. Musa,  Ummie dan anak perempuannya Hjh. Zaunah serta dua orang anak angkatnya iaitu Sheikh Mohammad Qurra' dan Mohammad Saghir telah dibawa bersama berangkat ke Makkah dan berada di sana selama 3 tahun (Sheikh Mohammad Qurra' kemudiannya menjadi rakyat Arab Saudi, menetap di Ajyad Sup dan mengajar Al-Quran di Masjidil Haram sehinggalah meninggal dunia di Makkah, manakala Mohammad Saghir  menetap di Jabal Sudan dan juga telahpun meninggal dunia beberapa tahun lepas di Makkah Al Mukarramah ).

Beliau telah ditawarkan menjadi warga Negara Arab Saudi, namun terpaksa menolaknya memandangkan terdapat 2 orang anaknya yang ditinggalkan di Malaya ketika itu, dan hasrat menyumbangkan khidmat bakti dengan berdakwah, mengajar agama dan Al-Quran kepada masyarakat setempat di negeri kelahirannya Kelantan tetap menjadi keutamaannya. 

Antara jasa-jasa beliau :
1) Beliau menjadi pelopor kepada pembelajaran Al-Quran secara qiraat dimana hanya beliau dan Mufti Kelantan Dato' Hj. Mohd Nor sahaja yang arif di bidang Qiraat 7 Al-Quran diwaktu itu. (Tujuh cara pembacaan Al-Quran)
2)Mengajar kitab dan berdakwah di Madrasah beliau dan seluruh tempat di negeri Kelantan
3)Menjadi hakim tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang Bank (Kini Padang Merdeka) Kota Bharu.
4)Menjadi tempat rujukan orang ramai untuk memohon bantuan, pandangan dan nasihat berkaitan hukum-hakam, masalah rumah tangga dan sebagainya.
5)Melatih dan membimbing Qari terkenal Kelantan antaranya Hj. Ahmad Som Pergau dan Hj. Mokhtar dalam bidang tajwid sehingga berjaya muncul sebagai johan Tilawah Al- Quran Peringkat Antarabangsa
6) Menjadi pelopor solat Jumaat di Kampong Laloh, Kuala Krai
7) Mendidik dan memelihara ramai anak angkat yang terdiri daripada anak-anak yang bermasalah dan kurang didikan agama serta miskin.  Anak angkat Tuan Guru Hj. Musa ada di merata tempat antaranya seperti En .Junuh di Kg. Bayam Kota Bharu, Allahyarham Hjh. Fatimah, Felda Jelu, Raub, Pahang, En.  Razali di Merapoh,  Pahang, Allahyarham En. Yusof Lind, Kuala Lumpur iaitu bekas suami seniwati Dayang Sulu, dan ramai lagi.

Keistimewaan:-
1)        Menegakkan syiar Islam dengan melarang  keras permainan Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Menora dimainkan  di sekitar kampongnya semasa hayat beliau.
2)        Di katakan beliau seorang yang berkat dan masin mulutnya, malahan ada sesetangah pihak yang mengatakan beliau adalah wali Allah- Wallahua'lam
3)        Mempunya kepandaian membaca khasiat batu permata- mempelajari kemahiran ini dengan orang arab Maghribi sewaktu menetap di Tanah Suci Makkah
4)        Seorang yang kemas dan amat berdisiplin sehinggakan setiap perkara yang dibuat dicatit satu persatu termasuk apa yang dimakan setiap hari.
5)        Menjadi tempat orang kampong menyimpan barangan berharga sewaktu era huru hara/darurat.  Satu kisah diceritakan oleh Ummie bahawa suatu malam Arwah Tuan Guru Hj.Musa dengan orang-orang kampong buat solat hajat mohon perlindungan daripada ALLAH. Sewaktu sedang berdoa ada anak murid beliau yang ternampak puluhan penjahat menanti di depan madrasah mereka. Selesai berdoa Tuan Guru Hj. Musa turun menemui mereka dan menjemput mereka naik ke Madrasah, disuruhnya mereka menjamu hidangan 3 gantang pulut yang ditanak oleh Ummie. Akibat kekeyangan dan rasa malu atas kebaikan Tuan Guru Hj. Musa, Ketua penjahat tersebut telah berikrar dan berjanji untuk tidak mengganggu keamanan disekitar kampong tersebut.  Demikianlah juga sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Bukit Marak menjadi tempat mereka mengambil batu dan juga memancung mereka yang bersalah,  namun ketua askar Jepun amat menghormati Tuan Guru Hj. Musa sehinggakan terdapat beberapa orang dilepaskan daripada hukuman pancung akibat menghormati beliau.
6)        Sewaktu sebelum  peristiwa pergaduhan kaum 13 Mei 1969 meletus, Kiyai Salleh daripada Johor telah datang ke Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk memberi pesanan dan bertemu dengan masyarakat Kelantan. Tuan Guru Hj. Musa telah menjemput mereka datang ke Madrasahnya di Bukit Marak . Beliau turut  membuat selindang merah dan menempah parang panjang untuk mempertahankan diri. Diceritakan arwah ummie, Tuan Guru Hj. Musa turut beramal dan bersuluk di dalam biliknya sepanjang tragedi itu berlaku.

ANTARA SAHABAT DAN ANAK ANGKATNYA YANG TERKENAL ALIM
-Almarhum Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal mempunyai pertalian keluarga dengan Tuan Guru Haji Musa
-Almarhum Tuan Guru Sidi Abdul Latif , Seberang Takir Terengganu
-Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pengasas Pondok Pasir Tumboh
-Almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, Ayahnda Kepada Dato' Nik Aziz Nik Mat
-Almarhum Sheikh Mohammad Qurra', Ajyad Supp,  Makkah Al Mukarramah
-Allahyarham Haji Mohammad Saghir, Jabal Sudan Makkah AlMUkarramah
-Allahyarham Haji Aziz- guru al Quran di Pondok Pasir Tumboh
-dan ramai lagi yang tidak dapat disebut satu persatu


Tuan Guru Haji Musa, yang telah ditauliahkan tarikat Al Ahmadiah Al Idrisiyyah Al Rasyidiyyah Ad Dandarawiyah di Makkah Al Mukarramah  ini telah kembali kerahmatullah pada tahun 1970 sewaktu berusia 75 tahun, dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Atas Pasir, Bukit Marak. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dirumahnya pada pagi jumaat setelah mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri selama 3 hari. Ribuan anak murid, keluarga dan kenalan telah datang menziarahi jenazah beliau pada hari tersebut.  Namun jasanya masih dikenang oleh mereka yang mengenalinya dan namanya tetap disebut kerana telah diabadikansebagai  nama kampong "Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak" dan juga Masjid Tuan Guru Haji Musa, Bukit Marak.
MASA DAN WAKTU


BERITA SEMASA
PAUTAN LUAR
MUAT TURUN
Majlis zikir dan kuliah tasauf mingguan akan dimulakan pada 8hb Oktober 2009, Bermula jam 7.00 ptg. Semua ikhwan di jemput hadir bertempat di Surau Haji Awang Alim, Kota Bharu, Kelantan.

Blog Ahmadiah Idrissiah Kota Bharu telah dilancarkan untuk memuatkan artikel-artikel tasauf, sufi dan tarekat. Boleh di lawati di http://www.ahmadiah-idrissiah.blogspot.com